Laman Web Rasmi Lembaga Rayuan Negeri Pulau Pinang

Peranan & Tanggungjawab Saksi di Lembaga Rayuan

Saksi adalah seorang yang memberi keterangan mengenai sesuatu fakta berkaitan dengan kes yang berkenaan. Seseorang yang diserahkan dengan sapina oleh Lembaga Rayuan adalah seorang saksi dan beliau mestilah hadir ke Lembaga Rayuan untuk memberi keterangannya. Sekiranya gagal hadir Waran Tangkap boleh dikeluarkan terhadap beliau. Tujuan saksi hadir ke Lembaga Rayuan adalah untuk mengemukakan keterangan secara lisan atau secara dokumen mengenai sesuatu fakta supaya Lembaga Rayuan dapat membuat keputusan berdasarkan keterangan-keterangan yang diberikan

Perkara Yang Perlu Anda Lakukan Sebelum Ke Lembaga Rayuan

  • Pastikan tarikh/waktu dan tempat perbicaraan tersebut (sila rujuk pada sapina)
  • Sekiranya anda dikehendaki mengemukakan apa-apa dokumen, sediakan dokumen berkenaan dan bawa pada hari perbicaraan. Rancanglah perjalanan anda, supaya anda sampai ke Lembaga Rayuan sebelum 9.00pagi
  • Anda hendaklah berpakaian kemas, sopan dan tidak menjolok mata, mengikut etika berpakaian yang ditetapkan bagi kehadiran ke Lembaga Rayuan

Tanggungjawab Saksi Semasa Memberi Keterangan Di Lembaga Rayuan

  • Gunakan bahasa yang mudah difahami untuk memberi keterangan. (Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris)
  • Angkat sumpah di dalam kandang saksi dengan suara yang kuat dan jelas sambil mengangkat tangan kanan paras bahu
  • Kemukakan kad pengenalan / kad kuasa / passport melalui Urusetia untuk rujukan dan rekod Lembaga Rayuan
  • Hendaklah mendengar dengan teliti soalan-soalan dari pihak-pihak dalam pertikaian atau Pengerusi/Ahli Panel Lembaga Rayuan dan jawab apa yang ditanya sahaja. Jika ada sebarang soalan yang tidak difahami atau tidak jelas, dapatkan penjelasan
  • Jawab dengan sopan, tidak terlalu kuat atau terlalu perlahan: tidak ketawa, nada menyindir atau bahasa kasar
  • Bawa bersama-sama dokumen-dokumen yang akan dikemukakan ke kandang saksi. Dapatkan keizinan Lembaga Rayuan sekiranya ingin merujuk dokumen
  • Pastikan jawapan/keterangan yang diberikan adalah terikat dengan sumpah untuk berkata benar