Laman Web Rasmi Lembaga Rayuan Negeri Pulau Pinang

Siapakah yang dibenarkan melayari dan menggunakan e-Rayuan?

Umumnya, e-Rayuan boleh dicapai oleh semua lapisan masyarakat. Bagaimanapun, terdapat beberapa maklumat dan perkhidmatan yang memerlukan anda mendaftar sebagai seorang ahli.

Apakah dasar privasi e-Rayuan? Adakah penggunaan atau akses saya diawasi dan direkodkan?

Segala akses dan penggunaan anda ke atas e-Rayuan tidak akan direkodkan. Untuk maklumat lanjut, sila layari Dasar Privasi di bahagian bawah setiap halaman.

Siapakah yang boleh merayu di Lembaga Rayuan?

Orang-orang yang boleh merayu adalah tertakluk kepada jenis –jenis rayuan yang diterangkan di dalam drop down menu “Lembaga Rayuan”.

Siapakah yang dimaksudkan sebagai “jiran”?

Jiran yang dimaksudkan adalah:

  • Tuan punya tanah yang bersempadan dengan tanah yang berhubungan dengan sesuatu permohonan kebenaran merancang yang dikemukakan kepada MBPP, MBSP atau JPBD Negeri Pulau Pinang;
  • Tuan punya tanah yang dipisahkan dari tanah yang berhubungan dengan sesuatu permohonan kebenaran merancang, oleh mana-mana jalan, lorong, parit atau tanah rizab yang lebarnya tidak melebihi 20 meter dan yang akan bersempadan dengan tanah yang berhubung dengan permohonan kebenaran merancang itu jika tidak kerana dipisahkan oleh jalan, lorong, parit atau tanah rizab itu;
  • Tuan punya tanah yang terletak dalam jarak 200 meter dari sempadan tanah yang berhubungan dengan sesuatu permohonan kebenaran merancang jika jalan masuk ke tanah yang berhubungan dengan kebenaran merancang itu ialah jalan yang digunakan oleh pemunya tanah itu dan pemunya tanah yang berhubungan dengan permohonan itu; dan
  • Orang yang telah disampaikan keputusan oleh Majlis berhubungan dengan suatu kebenaran merancang yang telah dipertimbangkan oleh pihak Majlis melalui Borang B, Borang C1 atau Borang C2.

Perlukah saya diwakili di dalam rayuan yang saya kemukakan di Lembaga Rayuan semasa perbicaraan nanti?

Perayu tidak disyaratkan oleh Lembaga untuk melantik wakil bagi mewakilinya di perbicaraan nanti sekiranya perayu arif tentang isu yang hendak dibangkitkannya semasa perbicaraan nanti.

Perlukan saya melantik seorang peguam bagi mewakili saya semasa perbicaraan nanti?

Perayu tidak disyaratkan oleh Lembaga untuk melantik peguam bagi mewakilinya di perbicaraan nanti, melainkan jika rayuan yang hendak dibangkitkan melibatkan isu perundangan yang mana dengan pelantikan seorang peguam berkenaan dapat membantu perayu berkenaan semasa perbicaraan nanti.

Bolehkah Akitek, Perancang Bandar, Jurukur Tanah atau professional lain mewakili saya di dalam perbicaraan nanti?

Perayu boleh melantik sesiapa sahaja bagi mewakili beliau di dalam perbicaraan nanti bagi membantunya menyampaikan kes dengan lebih baik.

Perlukah saya hadir semasa sebutan/perbicaraan jika saya telah melantik seorang wakil atau peguam?

Perayu digalakkan hadir semasa sebutan kes tetapi perayu perlu hadir semasa perbicaraan walau pun perayu telah melantik wakilnya samada peguam atau professional lain.

Apakah yang perlu saya buat sekiranya saya (perayu) tidak dapat hadir ke sebutan atau perbicaraan?

Perayu perlu memaklumkan Pendaftar sekiranya beliau tidak dapat hadir ke sebutan atau perbicaraan secara bertulis dan sesalinan pemakluman bertulis berkenaan hendaklah dihantar kepada pihak Responden juga. Perayu perlu memaklumkan Pendaftar sekiranya pihak lain atau wakilnya akan mewakilinya di dalam prosiding yang telah ditetapkan berkenaan.

Berapakah kadar fi yang dikenakan jika saya seorang suri rumah tangga?

Kadar fi yang dikenakan adalah mengikut taraf perayu berkenaan samada seorang individu perseorangan/ tuan punya berjiran (tidak kira bertaraf individu atau syarikat) atau syarikat/ pemaju. Kadar fi yang dikenakan boleh diperolehi dari Jadual Fi di dalam menu Lembaga Rayuan di dalam laman web ini.

Jika saya bukan seorang individu atau syarikat, tetapi sebuah perbadanan pengurusan, berapakah kadar fi yang perlu saya bayar jika saya ingin mengemukakan rayuan ke Lembaga Rayuan?

Kaedah Lembaga Rayuan tidak memperincikan perayu seperti tuan, keputusan secara pentadbiran yang telah dibuat oleh Pihak Kerajaan Negeri adalah untuk mengenakan kadar individu. Perkara ini telah diambilkira oleh Kerajaan Negeri di dalam kajian semakan semula Kaedah Lembaga Rayuan yang sedang dimuktamadkan.

Bolehkah saya merayu jika tempoh untuk merayu kepada Lembaga telah tamat (melewati tempoh 1 bulan dari keputusan Majlis berkenaan disampaikan kepada saya)?

Perayu perlu membuat permohonan perlanjutan masa untuk mengemukakan rayuan melalui peguam yang dilantik untuk pertimbangan Pengerusi Lembaga Rayuan. Selanjutnya perayu boleh mengemukakan rayuan setelah permohonan perlanjutan masa diperdengarkan di Lembaga dan dibenarkan oleh Pengerusi.

Bilakah kes saya akan dibuat sebutan?

Sebutan kes akan dibuat di dalam bulan yang sama kes dikemukakan ke Lembaga Rayuan atau tarikh perbicaraan yang terdekat, mana-mana tarikh yang lebih awal.

Bilakah kes saya akan dibicarakan?

Pendaftar akan memanggil perayu dan responden apabila sebutan kes dilakukan dan tarikh perbicaraan akan ditetapkan oleh Pengerusi setelah mendapat persetujuan semua pihak yang terlibat dalam kes berkenaan.

Apakah dokumen yang boleh saya beli?

Perolehan dokumen boleh dibuat secara online dan di kaunter Jabatan Perancang Bandar dan Desa Negeri Pulau Pinang dengan dikenakan bayaran fi yang tertentu. Jenis dokumen yang boleh dibeli oleh pihak-pihak dispesifikasikan di dalam Kaedah Lembaga Rayuan Negeri Pulau Pinang (pindaan 2011) yang dijelaskan di dalam menu “penerbitan” laman web ini.

Saya bukan jiran atau orang yang berkepentingan di dalam kes rayuan berkenaan, bolehkah saya mengikut perbicaraan kes rayuan tersebut?

Boleh, kerana persidangan Lembaga Rayuan adalah dianggap sebagai tribunal terbuka. Tuan/ puan boleh mengikuti perjalanan perbicaraan ini dengan duduk di galeri awam yang disediakan di Dewan Persidangan Lembaga Rayuan ini. Walau bagaimana pun rakaman audio atau video semasa perbicaraan sedang berjalan tidak dibenarkan sama sekali. Etika orang awam yang menghadiri perbicaraan di Lembaga Rayuan boleh diikuti dari halaman Etika di dalam menu “Lembaga Rayuan”

Saya bukan seorang jiran atau orang yang berkepentingan di dalam kes rayuan berkenaan, bolehkah saya membeli dokumen-dokumen yang didepositkan di dalam perbicaraan kes rayuan tersebut?

Tuan boleh membeli nota prosiding kes, keputusan kes (Borang 6A) dan alasan penghakiman kes dengan membelinya dari kaunter Jabatan Perancang Bandar dan Desa Negeri Pulau Pinang atau secara online mengikut kadar fi yang ditetapkan.

Bagaimanakah jika saya ingin membawa atau memanggil saksi bagi membantu kes saya?

Jika tuan ingin membawa saksi, saksi boleh dibawa terus semasa prosiding dengan memaklumkan Pendaftar dan Responden dan sekiranya saksi hendak disapina, perayu hendaklah mengisi Borang 9 dengan membuat bayaran fi yang ditetapkan kepada Pendaftar dan Pendaftar akan mengurus pemanggilan saksi berkenaan untuk hadir ke prosiding yang ditetapkan.

Sebagai seorang yang telah disapina sebagai saksi di dalam perbicaraan Lembaga Rayuan, apakah perkara-perkara yang perlu saya ketahui atau buat persediaan sebelum menghadiri perbicaraan?

Sila ikuti halaman Etika di dalam menu “Lembaga Rayuan”.

Berapa kerapkah prosiding Lembaga Rayuan diadakan?

Jadual persidangan atau prosiding Lembaga Rayuan boleh diikuti di laman web ini setiap bulan.

Siapakah yang menganggotai Lembaga Rayuan?

Umumnya ahli-ahli Lembaga Rayuan adalah professional yang arif di dalam bidang-bidang perundangan, perancangan Bandar dan desa serta disiplin lain yang bersangkutan dengannya. Butiran terperinci biodata ahli-ahli Lembaga Rayuan adalah seperti yang dimuatkan di halaman Ahli Lembaga Rayuan di dalam menu “Lembaga Rayuan”.

Bilakah keputusan kes saya dapat diketahui?

Keputusan kes Lembaga Rayuan adalah keputusan Pengerusi Lembaga Rayuan setelah menimbangkan pendapat 2 orang ahli (panel) yang lain. Dengan yang demikian Pengerusi akan menetapkan tarikh keputusan akan disampaikan melalui Pendaftar. Keputusan lisan akan disampaikan oleh Pengerusi semasa prosiding Lembaga Rayuan.

Bagaimanakah jika saya tidak berpuashati dengan keputusan Lembaga Rayuan?

Keputusan Lembaga Rayuan adalah muktamad. Apa-apa pertikaian selanjutnya oleh mana-mana pihak hendaklah dikemukakan ke platform perundangan yang lebih tinggi dari Lembaga Rayuan.