Laman Web Rasmi Lembaga Rayuan Negeri Pulau Pinang

Lembaga Rayuan ini merupakan satu badan bebas atau berkecuali yang dilantik oleh Pihak Berkuasa Negeri Pulau Pinang bertujuan untuk memberi peluang kepada mana-mana pihak sama ada pemaju-pemaju, pemilik-pemilik hartanah, pemilik lot-lot berjiran, agensi swasta mahupun orang awam untuk mengemukakan rayuan sekiranya terkilan atau tidak berpuas hati dengan keputusan Pihak Berkuasa Perancang Tempatan ke atas penolakan permohonan kebenaran merancang, syarat-syarat pemberian kebenaran merancang atau lain-lain bantahan yang diperuntukkan di bawah Akta 172. Lembaga Rayuan akan bertindak untuk menyelesaikan pertikaian di antara perayu dengan Pihak Berkuasa Perancang Tempatan. Penubuhan Lembaga Rayuan di negeri-negeri di bawah subseksyen 36(1), Akta 172 akan memberi peluang dan hak bersuara kepada orang awam serta memastikan PBPT membuat keputusan yang lebih telus dan terbuka.

Lembaga Rayuan Negeri Pulau Pinang ditubuhkan pada tahun 1985 iaitu merupakan Lembaga Rayuan yang pertama di negara ini. Kaedah Lembaga Rayuan Negeri Pulau Pinang mula diwartakan pada tahun 1989 dan kes pertama hanya dapat didengar pada tahun 1991.